Apakah keseimbangan kehidupan-kerja?
Bekerja dari pukul 9-5 sudah menjadi semakin lapuk. Generasi terdahulu mungkin melihat pekerjaan sebagai segala-galanya, tetapi kita semua lebih memahami perkaitan antara kerja dan kesihatan. Terdapat kesedaran yang meningkat akan kesesuaian kehidupan peribadi dalam semua ini. Istilah keseimbangan kehidupan-kerja yang kadangkala dipanggil WLB—adalah cukup jelas, merujuk kepada rasa harmoni yang dialami antara kehidupan kerja anda dan kehidupan anda di rumah, tanpa kedua-duanya menimbulkan konflik. Jika anda perlu bekerja lebih masa, misalnya, anda boleh mendapati diri anda terlibat dengan konflik keluarga kerja, yang mana anda tidak boleh memenuhi tugas kerja anda dan keluarga anda dengan setara. Dalam hal ini, keseimbangan kehidupan-kerja anda adalah tidak seimbang.
Secara umumnya, apabila orang menyebut tentang mencapai keseimbangan kehidupan kerja, mereka bercakap tentang jadual kerja yang tidak memerlukan mereka mengorbankan masa peribadi mereka untuk jam yang lebih lama. Mendapatkan keseimbangan yang betul seringkali dilihat sebagai penting bagi kegembiraan pekerja dan budaya organisasi yang mengagumkan.
Mengapakah keseimbangan kerja-kehidupan itu penting?
Semua orang mahu lebih banyak masa pada siang hari untuk melakukan perkara yang mereka gemari, maka bukankah keseimbangan kehidupan-kerja cuma sekadar angan-angan sahaja? Sebenarnya, keseimbangan ini jauh lebih daripada itu. Mencapai keseimbangan kehidupan-kerja terbukti menjadi penting untuk kesihatan mental dan juga fizikal, bagi pekerja dan juga karyawan bebas. Kekurangan keseimbangan boleh menyebabkan perkara yang dikenali sebagai "lesu upaya", oleh Organisasi Kesihatan Dunia sebagai:
"...sindrom yang dikonsepsikan sebagai akibat tekanan di tempat kerja yang kronik dan tidak diuruskan dengan berjaya...perasaan kekurangan atau kehausan tenaga; peningkatan jarak mental daripada kerja atau perasaan negatif atau sinis berkaitan dengan kerja serta kecekapan profesional yang berkurangan."
Lesu upaya semakin meningkat dan menyebabkan tenaga kerja kehilangan motivasi dan produktiviti, serta dikaitkan dengan penyakit jantung, tekanan darah dan jenis diabetes. Ringkasnya, berada dalam keadaan tertekan secara berterusan adalah tidak sihat untuk sesiapa mahupun sebarang perniagaan.
Tip keseimbangan kerja-kehidupan
Mendapatkan keseimbangan kerja-kehidupan yang sihat adalah melalui sikap dan tindakan. Berikut merupakan cara untuk memastikan anda berada pada hala tuju yang betul untuk mencapai harmoni bagi anda dan pasukan anda:
Ketahui nilainya
Anda mungkin terperanjat apabila mengetahui keseimbangan kerja-kehidupan adalah salah satu perkara yang paling diingini orang ramai. Kajian baru-baru ini mendapati bahawa pekerja akan lebih rela mendapat bayaran rendah jika ini bermakna mereka boleh bekerja untuk syarikat yang lebih berempati. Ini merupakan kompromi yang agak besar untuk dipersetujui tanpa mengira situasi peribadi anda. Walau bagaimanapun, ini petunjuk yang jelas bahawa orang ramai tidak lagi melihat kerja sebagai seluruh kehidupan mereka, tetapi sebagai alat untuk menjalani kehidupan. Apakah maksudnya untuk anda dan pasukan anda? Mereka perlu tahu bahawa anda menjaga kebajikan dan kesejahteraan mereka, di pejabat dan di rumah.
Berhenti menggelarnya keseimbangan
Pandangan yang semakin popular tentang idea konflik kerja-kehidupan ini adalah untuk berhenti menganggapnya sebagai keseimbangan yang rapuh dan sebaliknya, anggap keseimbangan ini sebagai kehidupan secara keseluruhan. Misalnya, jangan fikir bahawa menghantar beberapa e-mel kerja semasa hujung minggu terus menghapuskan status "masa lapang" hujung minggu anda. Begitu juga, jangan anggap bahawa berehat semasa hari bekerja bermakna anda tidak berusaha keras.
Uruskan masa dan tenaga
Hari bekerja bukan sekadar bilangan jam yang anda luangkan di meja. Cuba dan dekati tugasan kerja anda dengan cara baru, mungkin dengan menggunakan senarai tugasan atau teknik pengurusan masa seperti Pomodoro. Jika anda seorang pengurus atau bos, anda harus memberikan kebebasan kepada pasukan anda untuk meneroka cara bekerja dan pengurusan tugas yang berbeza. Tenaga kita memuncak dan menurun sepanjang hari secara semula jadi—jangan tegur rakan sekerja jika outputnya tidak sentiasa berada di puncak. Ini akan menyebabkan anda berasa kurang tertekan dan lebih bertenaga untuk memanfaatkan jam bekerja sepenuhnya. Menggunakan Dropbox Capture ialah cara yang bagus untuk menggalakkan perkara ini.
Dropbox Capture ialah alat untuk merakam video dan tangkapan skrin untuk membentangkan idea. Ahli pasukan boleh menggunakan alat tersebut untuk merakam kerja mereka apabila mereka berasa yakin, kemudian kongsikan untuk tontonan rakan sekerja mengikut masa mereka sendiri.
Rancang dan urus jangkaan
Merancang kerja anda seminggu lebih awal membantu anda menentukan masa sebenar anda boleh luangkan untuk kehidupan peribadi anda. Misalnya, merancang untuk bekerja sepenuhnya setiap minggu boleh menyebabkan anda gagal, kecewa dan lesu upaya. Tetapkan jangkaan yang lebih realistik untuk diri anda agar anda mempunyai tenaga yang lebih seimbang untuk kerja dan kehidupan peribadi anda.
Jadualkan masa rehat seawal mungkin, walaupun anda berasa bahawa anda tidak memerlukannya . Lakukan mengikut rentak, bertentangan dengan acara seperti percutian atau cuti. Pilih tarikh sembarangan dan berulang, seperti hari Selasa kedua setiap bulan selama enam bulan. Dengan cara itu pasukan anda boleh menjangkakannya dan anda tahu bahawa anda akan mempunyai masa yang ditetapkan untuk memulihkan diri.
Jika anda menguruskan pasukan, jangan harap perkara yang mustahil daripada ahli pasukan anda. Cuba dekati projek dengan anggapan bahawa semua perkara buruk mungkin berlaku dan berikan ruang untuk perkara tersebut— teknik perancangan PERT yang dicipta oleh Tentera Laut pun tahu bahawa bukan semuanya akan berjalan lancar.
Fikirkan tentang persekitaran anda
Sama ada anda bekerja dari rumah atau dari pejabat, anda harus sedar akan perkara yang anda pilih untuk bersama anda. Anda mungkin tidak mempunyai kawalan yang besar terhadap reka bentuk pejabat, tetapi cuba sedaya-upaya untuk memastikan kawasan kerja anda kemas dan bersih—pepatah lama yang mengatakan "meja kemas, minda rapi" ada betulnya. Begitu juga, apabila anda pulang ke rumah, pastikan anda berada dalam ruang yang direka untuk membuatkan anda berasa santai dan menurunkan tahap tekanan anda. Jangan biarkan dokumen kerja terbuka, jangan benarkan e-mel kerja sentiasa dibuka pada telefon anda. Jika anda bekerja dari rumah sebagai karyawan bebas, cuba pastikan ruang kerja anda terhad pada bilik atau meja yang boleh anda jauhi pada penghujung hari bekerja.
Jangan pandang remeh tentang kesihatan mental
Ini ditujukan buat pasukan anda dan juga diri anda. Lebih banyak syarikat kini memahami kepentingan "hari kesihatan mental", yang bermakna pekerja boleh bercuti untuk memulihkan diri, mengikut kesesuaian mereka. "Sakit" secara fizikal tidak semestinya menjadi satu-satunya sebab untuk berehat. Bersikap terbuka dengan pasukan anda tentang kepentingan kesejahteraan mental, jangan menggunakan atau menggalakkan rasa malu kerana mengaku tidak berasa 100% setiap masa—tiada sesiapa yang berasa begitu. Walaupun sikap ini tidak menyelesaikan masalah, namun sikap ini pasti membantu mengurangkan beban. 55% pekerja bimbang tentang meminta waktu cuti untuk membantu menangani masalah kesihatan mental. Dengan membuka forum yang terbuka dan jujur dan dengan tidak menyembunyikan perasaan dalam hati anda, anda boleh membantu pasukan anda mengurangkan masa yang diluangkan dek tekanan dan berharap forum itu membantu mengurangkan kesan masalah dalam kehidupan pekerja anda.
Jangan buat dengan sendiri
Banyak tempat kerja moden melihat pasukan mereka melebihi sekadar nama atau angka—mereka bagaikan keluarga yang besar. Rakan sekerja digalakkan untuk meluangkan masa bersama di acara sosial selepas kerja, sementara pasukan bersembang melalui Slack atau Zoom ialah perkara yang biasa. Pada dasarnya, rakan sekerja digalakkan untuk melihat satu sama lain sebagai rakan, orang yang boleh berhubung dan bergantung harap dengan mereka. Memiliki rasa persahabatan boleh memberikan perbezaan yang besar untuk keseimbangan kerja-kehidupan—hakikatnya, pengasingan didapati memberikan kesan negatif terhadap motivasi bagi orang yang baru memulakan telekerja tanpa pasukan teragih untuk menyokong mereka.
Walaupun begitu, jarak tidak boleh menghalang pasukan anda daripada berhubung—terutamanya kini dengan begitu banyak alat yang berkesan membolehkan anda bekerja jarak jauh. Pastikan bahawa semua orang mempunyai akses ke dan pengetahuan tentang semua alat kerjasama yang mereka perlukan untuk mencipta ruang kerja yang mudah digunakan dan bersepadu.
Ini juga mungkin kelihatan berbeza dengan cara anda kekal berhubung dengan keluarga anda. Dengan pelan Dropbox Family, Folder Family yang dikongsi memberi anda peluang untuk mendapat kemas kini tentang gambar, video atau apa sahaja yang anda ingin kongsi.
Perkara utama
Asas keseimbangan kerja-kehidupan adalah memastikan anda dan pasukan anda menjaga kehidupan peribadi dan keluarga anda. Ini tidak bermakna sesiapa sepatutnya merendahkan kehidupan profesional tetapi semua orang harus ingat bahawa kerja dan kehidupan di luar pekerjaan adalah sama penting. Rakan sekerja anda bukan sekadar orang yang datang dengan komputer riba selama lapan jam sehari. Mereka juga manusia, dengan beratus-ratus tanggungjawab yang berharga di luar kerja. Apabila anda semua dapat menyesuaikan diri dengan cara pemikiran sebegini, anda akan mendapati anda boleh mencapai keseimbangan kerja-kehidupan yang berkualiti bersama.