Cara untuk bekerja dari rumah dengan berkesan
Apabila pejabat moden dan kerja menjadi lebih digital, maka pilihan bekerja dari rumah menjadi lebih popular di kalangan pekerja di seluruh dunia. Menurut Global Workplace Analytics, seramai 5 juta orang bekerja dari rumah di AS sahaja, sekurang-kurangnya lima puluh peratus pada masa itu. Walaupun ramai yang memilih untuk bekerja dari rumah, namun membuat peralihan secara tiba-tiba untuk bekerja di rumah tanpa persiapan agak menakutkan, bahkan mengganggu. Jika anda bersedia untuk menyediakan pejabat di rumah tidak lama lagi dan menjadi pekerja jarak jauh, maka penting untuk anda bermula dengan betul.
Di atas kertas, kelebihan bekerja dari rumah boleh kedengaran bagaikan mimpi. Anda tidak perlu berulang-alik lagi, boleh bekerja sambil memakai baju tidur dan makan tengah hari di mana-mana yang anda suka. Walau bagaimanapun, orang lama bekerja dari rumah tahu bahawa realiti bekerja dari rumah tidaklah sesantai atau seseronok yang dijangkakan. Agak sukar untuk mencari rentak kerja di rumah sama seperti yang anda dapat di pejabat. Anda mungkin tidak memiliki meja sebenar di rumah anda atau anda mendapati diri anda mudah terganggu dengan haiwan peliharaan, ahli keluarga—dan kain kotor! Selain itu, agak sukar juga untuk berhenti daripada bekerja apabila anda bekerja dari rumah. Ini kerana bekerja dari rumah boleh memberikan impak psikologi pada kehidupan anda apabila rumah anda tidak dapat dipisahkan dengan kerja. Walau bagaimanapun, dengan tabiat yang betul, anda boleh memastikan bahawa anda cemerlang apabila bekerja dari rumah dan mengasingkan kehidupan anda di rumah.
Cipta ruang kerja dan ruang bukan kerja
Pertama sekali, anda memerlukan ruang kerja yang sesuai. Walaupun duduk menyandar di atas katil bersama komputer riba kedengaran menyeronokkan, tetapi persekitaran kerja yang tidak sesuai boleh menjejaskan tumpuan anda. Tetapkan ruang khusus dalam rumah anda untuk dijadikan ruang pejabat anda, tempat anda benar-benar dapat menumpukan perhatian atau ralit bekerja. Ini boleh jadi semudah seperti memilih sudut dalam bilik tidur atau pun kerusi di meja dapur anda yang biasanya tidak diduduki. Apa-apa pun, tempat itu mestilah yang jarang anda gunakan semasa berada di rumah agar anda boleh mengaitkan ruang itu dengan mentaliti kerja secara psikologi berbanding sekadar berehat di rumah. Ini sangat membantu apabila anda duduk dan cuba menyelami aliran kerja serta berhenti bekerja pada penghujung hari.
Pastikan anda dilengkapi
Peralatan biasanya diabaikan sehinggalah anda terpaku di sofa dengan komputer riba anda serta beberapa tab atau dokumen yang dibuka pada satu skrin. Apabila bekerja dari rumah, anda memerlukan penyediaan teknikal yang membolehkan anda bekerja seperti yang biasa dilakukan di pejabat. Sama ada skrin tambahan, tetikus dan papan kekunci yang berasingan mahupun meja yang sesuai, penting untuk anda memiliki alat yang betul. Jika anda akan bekerja dari rumah dengan kerap, maka majikan perlu melengkapi anda sewajarnya demi kepentingan anda.
Semak dasar bekerja dari rumah dan peralatan majikan anda untuk memastikan anda mempunyai semua yang diperlukan. Walaupun keperluan anda berbeza-beza mengikut peranan anda, berbaloi untuk anda menyemak jika mana-mana daripada perkara berikut diperlukan dalam fungsi harian anda serta jika anda boleh mengaksesnya di rumah:
- Monitor
- Tetikus
- Papan Kekunci
- Kabel/Penyesuai Paparan
- Skrin Privasi
- Fon Kepala
- Dirian komputer riba
- Pengecas
- Kerusi ergonomik
Sila ingat bahawa ini juga termasuk memiliki fail dan sambungan Internet yang sesuai. Sekiranya anda tidak dapat mengakses rangkaian syarikat anda dari rumah atas apa-apa alasan pun, anda masih perlu bekerja. Dengan fail yang disimpan dalam Dropbox, anda boleh bekerja jarak jauh secara luar talian kerana anda boleh memilih fail untuk disimpan dalam storan tempatan dan penyimpanan awan. Apabila anda berada di luar talian, fail anda tersedia untuk dikerjakan dan fail tersebut juga akan diselaraskan dengan versi dalam talian sebaik sahaja anda disambungkan semula. Anda tidak perlu bimbang tentang sambungan terputus, walaupun ini bermakna anda akan kekurangan satu alasan untuk menyiapkan kerja lebih awal.
Ikuti jadual kerja anda
Sebaik sahaja anda sudah menyiapkan pejabat rumah anda, maka sudah tiba masanya untuk bekerja. Kesilapan yang lazim dilakukan apabila anda mula bekerja di rumah ialah anda mungkin memilih untuk menukar masa perjalanan ke tempat kerja dengan tidur yang lebih lama. Sebenarnya, bangun daripada katil dan terus bekerja boleh memberikan kesan yang tidak menyenangkan. Untuk bermula dengan baik, pastikan anda bersiap sama seperti anda bakal masuk pejabat—walaupun pada hari santai. Apabila anda sudah menetapkan rutin untuk masuk dan keluar daripada mod kerja, dengan cara yang sama anda bersedia dalam perjalanan ke tempat kerja—maka anda sudah bersedia secara mental. Jika anda merancangnya dengan betul, anda boleh meluangkan masa yang berkualiti untuk diri sendiri dengan berjalan bersama kopi (atau haiwan peliharaan anda) sebelum duduk semula untuk menguruskan hari anda di ruang kerja rumah anda.
Berehat sebentar
Sebaik sahaja anda fokus, anda juga perlu memastikan anda berehat sebentar. Hari biasa di pejabat dipenuhi dengan perjalanan ke ruang rehat untuk minum kopi, berbual dengan rakan sekerja di meja mereka dan gangguan kecil yang lain. Walaupun anda berkemungkinan besar pergi ke dapur untuk mendapatkan kopi dan snek, tetapi sangat mudah untuk anda bekerja secara berterusan tanpa masa henti apabila anda bekerja dari rumah. Walaupun tumpuan anda mungkin bertambah baik dengan bekerja dari rumah tanpa gangguan orang lain, tetapi anda masih memerlukan masa tambahan untuk berehat dan bersantai—dan anda harus berehat sebentar.
Tamatkan hari bekerja
Perkara paling penting semasa bekerja di pejabat rumah adalah kebolehan untuk meninggalkan kerja anda pada penghujung hari. Walaupun bekerja dari rumah kelihatan seperti lebih memihak pada kehidupan dari segi keseimbangan kehidupan kerja anda, namun seringkali ini memberikan kesan sebaliknya. Sebaik sahaja anda boleh bekerja dengan cekap di rumah, anda perlu memastikan anda dapat berhenti bekerja. Tetapkan waktu yang ditentukan untuk menamatkan jam bekerja anda, sama seperti yang waktu bekerja di pejabat. Ini sama seperti memulakan hari anda: rutin diperlukan untuk membantu anda berehat dan keluar daripada mod bekerja. Senaman ringan atau membaca ialah kaedah lazim untuk merehatkan diri tetapi pastikan anda menemui rutin yang paling sesuai untuk anda. Ini adalah penting, bukan sahaja untuk anda berehat dan memulihkan diri sebelum hari bekerja keesokan harinya, tetapi juga untuk anda menikmati kehidupan peribadi dan sihat yang terpisah daripada kerja.
Cara untuk terus berhubung dengan pasukan anda dari jauh
Walaupun anda dan pasukan anda bekerja dari rumah, tetapi penting untuk anda terus berhubung dan peka dengan perkara baharu bagaikan anda berada di pejabat. Ramai orang sudah terbiasa bekerja dengan pekerja atau rakan sekerja jarak jauh di pejabat atau penempatan yang berbeza dan menyedari betapa pentingnya komunikasi yang kukuh bagi pasukan jarak jauh. Walaupun begitu, bagi orang lain pula, bekerja dari rumah boleh mendatangkan perasaan sunyi. Sebaik sahaja kemanisan tidak perlu pergi ke pejabat menghilang, seringkali ini bermakna anda banyak menghabiskan masa sendirian atau berkongsi ruang kerja dengan keluarga. Penting untuk anda terus mencari cara inovatif untuk berkomunikasi dengan pasukan anda menggunakan cara yang berkesan dan juga cara yang berkesan khusus bagi keadaan anda.
Gunakan alat kongsi untuk bekerja bersama-sama
Cara terbaik untuk bekerja rapat dengan rakan sekerja anda—walaupun dari jauh—adalah dengan menggunakan alat digital. Dengan bekerja dalam smart workspaces yang dikongsi, semua orang dalam pasukan anda boleh bekerjasama secara langsung sambil mengikuti perkembangan projek. Dalam Dropbox Paper, anda boleh berkongsi dokumen dengan pasukan anda dan mengerjakan dokumen bersama-sama secara dalam talian, tanpa perlu menghantar e-mel atau menggabungkan fail. Sekiranya ada perkara yang perlu dilakukan, anda boleh memetik sahaja nama salah seorang ahli pasukan anda dalam bahagian dokumen yang berkenaan untuk memaklumkan kepada mereka. Ini merupakan kaedah yang lebih mudah dan lebih berkesan untuk terus berhubung dengan pasukan anda serta bekerjasama dengan lebih baik—di dalam dan di luar pejabat. Anda juga boleh menggunakan Dropbox Capture untuk berkongsi kerja melalui mesej video—cara yang hebat untuk mengurangkan mesyuarat dan e-mel.
Ubah mesyuarat menjadi persidangan video
Walaupun bekerja di rumah sudah tentu mengurangkan banyak mesyuarat yang tidak penting daripada jadual anda, namun ini boleh menjadikan mesyuarat penting menjadi lebih mencabar. Sesetengah perbualan lebih baik diadakan secara bersemuka berbanding melalui panggilan telefon dan terdapat juga interaksi atau nuansa halus yang mungkin tidak disedari semasa bekerja dari rumah. Walau bagaimanapun, penggunaan persidangan video boleh merapatkan jurang tersebut. Sama ada ini merupakan penyelarasan seluruh syarikat atau projek dengan rakan sekerja, video membuatkan mesyuarat lebih berkesan dan memastikan anda terhubung dengan pasukan anda secara visual dan lisan. Dengan apl seperti Zoom yang disepadukan dalam Dropbox, mudah untuk anda mengadakan persidangan video atau menggunakannya sebagai sebahagian daripada rutin kerja anda. Sekiranya seseorang mahu membincangkan sesuatu pada dokumen dengan segera, anda boleh meminta dan memulakan panggilan Zoom dengan mereka secara terus daripada Dropbox.
Gunakan saluran sembang bersama
Kita semua tahu bahawa teknologi secara semula jadinya menyebabkan ahli pasukan atau sebahagian daripada organisasi anda untuk bersendirian—sama ada mereka di pejabat atau tidak. Salah satu cara untuk menggalakkan dan meningkatkan komunikasi adalah dengan menggunakan perisian pemesejan segera seperti Slack. Walaupun ini membantu mencipta rasa mendesak berkenaan komunikasi antara setiap ahli pasukan, namun Slack juga membuka peluang baharu untuk berkomunikasi dan bersosial dengan rakan sekerja lain. Dengan menggunakan Slack dan Dropbox, anda boleh menyediakan saluran unik dengan ahli pasukan, seluruh pejabat atau untuk pasukan masa riang selepas bekerja anda. Semua ini terserah pada anda.
Bercakap lebih banyak, bukan kurang
Apabila anda tidak dapat selalu berjumpa dengan ahli pasukan di pejabat atau semasa makan tengah hari, maklumlah banyak interaksi sosial yang bernilai telah hilang dengan tiba-tiba. Cara terbaik untuk mengatasi kekurangan komunikasi fizikal di pejabat adalah dengan lebih banyak berkomunikasi apabila anda tidak boleh berjumpa. Cuba jadualkan sesi semakan dengan ahli pasukan anda untuk bercakap tentang projek semasa—menggunakan alat seperti Slack dan Zoom. Ingat bahawa interaksi ini tidak semestinya perlu berkaitan dengan kerja—jangan bimbang untuk menghubungi rakan sekerja secara sosial dalam talian sebagaimana yang anda lakukan di pejabat. Kebanyakan perisian pemesejan segera pejabat memiliki papan kekunci emoji dan GIF untuk membantu anda menceriakan perbualan anda. Di Dropbox, anda juga boleh menggunakan emoji dalam dokumen untuk menambah kemesraan dan sentuhan unik dalam perbualan anda.
Nikmat bekerja dari rumah
Walaupun bekerja dari rumah kelihatan agak menakutkan pada awalnya, namun ada sebab ramai orang memilih cara bekerja sebegini kini. Tiada perjalanan ulang-alik, jadual yang fleksibel dan anda boleh menikmati kebebasan berada di rumah sendiri dengan lebih banyak masa untuk diri anda dan orang tersayang. Bahagian paling menyeronokkan? Dengan pendekatan dan alatan yang betul, mudah sahaja untuk menemui perkara yang menjadikan hal ini sangat menarik bagi kebanyakan pengamal telekerja. Dengan persekitaran bekerja yang sesuai dan hubungan yang kukuh dengan rakan sekerja dalam talian, peralihan kepada bekerja dari rumah boleh jadi pengalaman yang mudah dan menyeronokkan, yang mungkin tidak mahu anda lepaskan.