Apakah budaya organisasi?
Nilai dan tingkah laku di tempat kerja membentuk budaya organisasi syarikat. Budaya ini memainkan peranan yang lebih besar dalam kehidupan pekerja dan tahap produktiviti perniagaan. Ini tahun 2020 dan dekad baharu sudah tiba. Oleh itu, jika anda masih berpegang dengan nilai-nilai lapuk atau anda perlu bertanya kepada diri sendiri "Apakah budaya tempat kerja?", maka sudah tiba masanya anda mengikuti perkembangan.
Perasaan yang anda alami semasa berjalan melalui pejabat yang sibuk atau hingar daripada rakan sekerja yang mesra di tempat rehat. Semua ini menentukan budaya syarikat yang gembira dan sihat. Beberapa dekad yang lalu sangat berbeza dengan ketegaran, sukar untuk didekati dan hierarki yang jelas di tempat kerja "kubikel" semasa zaman 80-an dan 90-an. Kita telah menukar kubikel dengan meja kongsi, penyejuk air dengan mesin kopi organik dan bilik kakitangan pejabat dengan kawasan ping pong. Bos pula? Mereka duduk bersama rakan sekerja junior dan tidak berada dalam sudut pejabat yang tertutup.
Jadi, apakah yang menyebabkan perubahan budaya korporat?
Kemunculan internet, kebangkitan warga milenial dan perkongsian media sosial tentang kehidupan harian telah memainkan peranan dalam perubahan ini. Dunia sudah menjadi digital, sama juga dengan perniagaan. Anda tidak perlu lagi ke tempat kerja untuk bekerja. Nomad digital tidak perlu berada pada benua yang sama mahupun tingkat yang sama dengan rakan sekerja mereka untuk bekerjasama. Bagi pekerja yang bekerja di pejabat, suatu standard budaya tempat kerja yang baharu telah ditetapkan.
Contoh budaya organisasi
Bukanlah suatu kebetulan apabila beberapa syarikat yang paling berjaya di dunia juga merupakan syarikat yang menawarkan budaya syarikat yang terbaik. Jangan fikirkan ketidakmampuan untuk menawarkan sarapan percuma setiap pagi atau pejabat anda tidak dihias dengan reka bentuk dalaman yang hebat bermakna budaya syarikat anda tidak berkembang. Anda mahu makan makanan yang sedap-sedap sekali-sekala? Galakkan pasukan anda untuk membawa buah tangan yang lazat apabila mereka pulang daripada percutian. Mahu rapatkan hubungan pekerja anda dan acara yang akan dinantikan semua orang? Belanja minum pada setiap penghujung bulan dan berseronok bersama mereka. Perkara begini bukanlah tentang memuaskan keinginan makanan manis atau mendapatkan minuman percuma, tetapi tentang membina semangat pasukan dan membuatkan rakan sekerja anda menikmati masa yang diluangkan bersama.
Semua orang menyukai "manfaat", tetapi itu sahaja—bonus, tidak bergantung pada nilai teras pasukan dan akhirnya, itulah yang benar-benar bermakna seperti yang dibuktikan oleh gergasi industri ini:
Google
Google dilihat sebagai contoh mutakhir budaya syarikat. Tawaran Google kepada pekerjanya direka bukan sekadar untuk menarik bakat terbaik, tetapi untuk mengekalkan mereka untuk bertahun-tahun lamanya. Pejabat yang berwarna-warni dan moden hanyalah permukaan bagi budaya organisasi Google. Misinya adalah untuk melibatkan pekerja mereka sebanyak mungkin cara yang ada, termasuklah memberi ganjaran pada kegagalan.
Inisiatif dalam pejabat melibatkan pekerja dibimbing oleh "ahli Google" yang lain dari segi tugasan tempat kerja atau hobi bersama. Terdapat peluang untuk menawarkan idea baharu dan ditolak idea tersebut (secara positif) dalam Makmal Google X, yang melarang ejekan dan rasa malu. Latihan dan pembangunan secara berterusan ialah teras struktur organisasi ini. Walau bagaimanapun, lebih daripada semua ini, ahli Google disatukan dengan tujuan yang jelas dalam menjadikan maklumat di web berguna dan jelas. Dorongan dan komitmen bersama kepada pengguna akhir mereka yang memastikan Google konsisten berada di atas sebarang senarai "budaya syarikat terbaik".
Hubspot
Sama seperti Google, HubSpot mempunyai reka bentuk pejabat yang menggalakkan rekreasi dan sebuah kalendar acara sosial yang dinanti-nantikan. Sama juga dengan Google, HubSpot mengakui nilai kegagalan dengan berkata "kami lebih rela gagal dengan kerap daripada tidak pernah mencuba". Kunci kepada syarikat ini, yang juga kerap berada di kedudukan teratas budaya organisasi ialah nilai terasnya. Semua ini dinyatakan sebagai HEART: Rendah diri, Empati, Boleh menyesuaikan diri, Terunggul dan Telus. HubSpot percaya bahawa budaya syarikat adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan oleh mana-mana tempat kerja dan sudah menjadi tanggungjawab syarikat untuk membentuk budaya yang baik.
Mars Inc.
Institusi Mars Inc. yang sudah lama bertapak membuktikan bahawa ini bukanlah tentang industri digital yang pantas sahaja dan tidak membiarkan budaya syarikatnya terkongkong dengan masa lalu. Sebenarnya, "ahli Mars" bukan sahaja mendapat mentor sebagai pekerja baharu. Ahli pasukan yang lebih tua juga dapat mencuba "program intern songsang" yang mana rakan sekerja lebih muda melatih mereka tentang keajaiban moden seperti media sosial. Selain daripada inisiatif amal, komitmen Mars terhadap suka berjenaka, inovasi dan kepercayaan bersama bahawa pelanggan adalah segalanya. Jelas sekali bahawa Mars Inc. telah mencapai titik kejayaan berkenaan motivasi pekerja dan budaya secara keseluruhan.
Dropbox
Sudah tentulah, kami juga ingin memberikan sedikit penghargaan kepada diri kami. Dropbox sentiasa berusaha untuk memiliki budaya organisasi yang memberikan inspirasi, pelbagai, berpengetahuan dan gembira. Ini bermula dengan membenarkan ahli pasukan mengambil bahagian dalam menentukan budaya. Sejak tahun 2011, kami mengadakan Minggu Godam tahunan, selama 7 hari untuk pekerja Dropbox melangkah keluar daripada ruang kerja mereka yang lazim dan meneroka. Dengan meninggalkan kehidupan kerja harian mereka, pejabat global kami dapat mencipta, berfikir dengan lebih meluas dan mencabar tanggapan kami. Kami juga bersatu hati dengan meraikan kepelbagaian. Setiap tahun semasa inisiatif seperti Bulan Sejarah Orang Kulit Hitam dan Bulan Kebanggaan, kami berkongsi cerita tentang kepelbagaian Dropboxer. Ini menekankan latar belakang dan perspektif kami yang berbeza, yang menjadikan kami lebih teguh sebagai sebuah syarikat.
Selain itu, kami mengakui bahawa perbuatan baik yang kecil adalah penting untuk membina hubungan yang kukuh. Walaupun e-mel terima kasih adalah bagus, tetapi kami mencipta Pos Hutang Budi, iaitu perkhidmatan pos dalaman untuk Dropboxer menghantar mesej rasa terima kasih yang ditulis tangan, yang pasti akan mengukir senyuman pada wajah penerima. Memastikan bahawa semua orang dapat terlibat dalam budaya kami adalah yang paling penting.
Perkara utama yang boleh dipelajari daripada contoh terkemuka ini? Budaya syarikat yang terbaik akan memastikan pasukan mereka bersatu hati dari segi matlamat mereka, tidak takut untuk gagal dan mempunyai cara untuk berkembang dan membaiki diri sendiri. Semua ini ialah nilai teras yang melebihi lokasi fizikal.
Strategi untuk menambah baik budaya syarikat
Dengan pekerja yang bekerja daripada pesisiran, negara dan zon masa yang berbeza, menggabungkan pasukan di pejabat dan dalam talian ke dalam budaya organisasi yang sama dan nilai teras adalah mustahak.
Pastikan kit alat digital anda dikemas kini
Pada suatu masa dahulu, melengkapkan pasukan anda sebaiknya bermakna memiliki kertas yang mencukupi dalam almari bekalan. Kini, hal ini bermakna menyediakan penyelesaian digital untuk setiap kemungkinan dan mengikuti perkembangan terkini dengan produk baharu untuk tempat kerja yang pintar.
Adakah kerjasama silang jabatan diperlukan? Ahli organisasi boleh berhubung dengan membina hubungan yang bermakna di Slack. Anda perlu menjejak dan menyelesaikan masalah khusus projek? Pastikan masalah tersebut dilog masuk pada masa nyata di Trello. Anda memerlukan ahli profesional luar? Cari sumber yang tersedia dengan segera di Upwork.
Dropbox telah membina ruang kerja pintar yang pertama di dunia untuk memudahkan aliran kerja dan mengoptimumkan produktiviti. Alatan sebegini menggalakkan "budaya adhokrasi" yang meletakkan nilai pada kefleksibelan dan pemerkasaan pekerja. Dengan berbuat demikian, alat ini menjana keyakinan, memastikan pemilihan keputusan yang lebih pantas dan menggalakkan kreativiti dan pengambilan risiko—yang akhirnya membentuk pasukan yang memberikan kelebihan bersaingan kepada mana-mana organisasi.
Sama ratakan budaya hierarki anda
Budaya dan kepimpinan organisasi berjalan seiring dengan mewujudkan budaya syarikat yang teguh. Dalam persekitaran kerja kini, struktur organisasi telah diratakan. Nilai teras ialah nilai kongsi, memecahkan tembok lama "mereka dan kami" antara pekerja kanan, pertengahan dan muda. Sumber Manusia, pengarah pengurusan dan pekerja baharu seringkali boleh diakses dengan sama rata, lantas menghasilkan budaya tempat kerja yang menghargai pemikiran dan pendapat semua orang.
Anda boleh melakukannya dengan memastikan saluran komunikasi seperti e-mel, pemesejan segera atau papan mesej terbuka. Pekerja dapat terus mengikuti perkembangan terkini dengan berita syarikat dan budaya korporat, berkongsi jenaka atau berbincang tentang filem popular terkini. Dengan memastikan budaya syarikat anda terbuka dan menggalakkan sembang yang mesra, anda membenarkan pekerja anda menjadi diri mereka sendiri. Hasilnya ialah persekitaran tempat kerja yang dipenuhi dengan orang ikhlas yang boleh melontarkan idea antara satu sama lain.
Pastikan pembangunan pasukan termasuk pekerja jarak jauh
Terdapat kepercayaan lama bahawa pekerja jarak jauh bukanlah ahli pasukan yang sebenar. Perubahan budaya yang berlaku sejak beberapa tahun lepas menyaksikan idea ini hampir digantikan sepenuhnya dengan cara kerja yang "selalu berhubung". Kini, perniagaan lebih mementingkan nilai teras yang mereka miliki berbanding empat dinding tempat mereka beroperasi.
Rakan sekerja memupuk persahabatan yang sejati, digalakkan oleh acara sosial dan mesyuarat yang distrim secara langsung kepada setiap ahli organisasi. Manfaat seperti masa bekerja yang fleksibel meningkatkan motivasi pekerja tanpa mengira zon masa mereka berada. Surat berita bulanan memastikan semua orang mengikuti perkembangan terkini tentang pejabat lain, sama ada pejabat tersebut dikendalikan oleh seorang pekerja atau 100 orang dan memaklumkan ahli pasukan bahawa usaha mereka dihargai. Semua orang mempunyai kisah seram tentang cara persekitaran psikologi yang negatif dalam sesebuah organisasi mempengaruhi cara mereka bekerja. Oleh itu, pastikan budaya yang positif dan teguh dapat dinikmati oleh semua orang dalam setiap bahagian struktur organisasi anda.
Mulakan dari hari pertama dan pastikan pekerja baharu diperkenalkan kepada semua orang melalui pautan video atau e-mel—lebih baik lagi jika ada soalan menarik seperti "Anda mahu jadi haiwan apa dan kenapa?". Selain itu, pastikan anda menambah mereka dalam saluran komunikasi yang betul untuk pasukan yang bakal bekerjasama dengan mereka.
Pastikan ada masa untuk bersemuka
Dunia digital adalah luar biasa, tetapi sedikit perhubungan secara bersemuka seperti dahulu juga adalah bermanfaat. Ini mungkin dilakukan semudah seperti menyediakan bilik mesyuarat yang mencukupi untuk memberikan tempat untuk pekerja berbual atau memastikan bahawa semua orang mempunyai komputer riba yang dilengkapi dengan kamera web agar pekerja jarak jauh boleh berbuat hal yang sama. Sebuah kalendar acara sosial, seperti sarapan sekali sebulan atau parti Krismas tahunan memastikan rakan sekerja dapat melihat insan di sebalik avatar. Jika pekerja jarak jauh tidak dapat hadir, penghantaran kad tulisan tangan dalam surat sebagai tanda penghargaan akan memaklumkan mereka bahawa mereka dirindui.
Sekat celaan
Ketakutan membunuh kreativiti dan pengambilan risiko dengan serta-merta. Pastikan bahawa jika bencana berlaku, ini bukan tentang pihak yang harus disalahkan, tetapi cara untuk menyelesaikannya. Tempat kerja yang hebat bukan sahaja patut menyediakan alatan untuk memudahkan kerja pekerja dan mengadakan jaring keselamatan apabila semuanya tidak berjalan mengikut rancangan. Peralatan moden, sandaran fail dan bank kuasa sandaran ialah penambahan yang pintar di tempat kerja anda serta membantu menghapuskan sumber ketakutan.
Akses luar talian Dropbox membantu menyelesaikan masalah yang paling ditakuti, iaitu sambungan internet yang terputus. Dengan menyediakan akses ke fail apabila anda berada di luar talian, maka anda boleh menikmati cara bekerja yang baharu. Sama ada anda berada dalam perjalanan, di luar pejabat atau pun melalui gangguan internet, tiada sambungan Wi-fi tidak bermakna mereka terputus hubungan.
Apakah budaya organisasi untuk saya?
Anda tidak perlu berfikir jauh ke luar kotak untuk mencipta budaya organisasi moden yang menggalakkan motivasi pekerja dan menyatukan pasukan di pejabat dan jarak jauh. Pastikan bahawa anda, sebagai seorang ketua, menghasilkan budaya syarikat yang terbaik untuk tempat kerja anda. Ini boleh termasuk memberikan makanan lazat, pemerkasaan dengan membenarkan semua suara didengari atau menggalakkan pekerja untuk menumpukan semangat mereka terhadap kerja dengan alat produktiviti kami. Dengan berbuat demikian, anda boleh mewujudkan persekitaran yang memupuk dan menarik bakat terbaik dan menghasilkan kerja yang terbaik.