Menumpukan Perhatian
Keadaan aliran ialah keadaan mental yang dicirikan dengan keasyikan sepenuhnya dan tumpuan pada aktiviti, lantas menjadikan prosesnya memuaskan dan menyenangkan hati. Anda mungkin menyedari perasaan seperti ini ketika waktu berlalu dan anda serta pasukan anda benar-benar berada "dalam zon" semasa bekerja. Walau bagaimanapun, teori aliran menunjukkan bahawa aliran bukanlah sekadar perkara spontan yang berlaku: keadaan ini boleh mencipta persekitaran yang sempurna untuk mencapai keadaan aliran. Ini berita baik bagi pengurusan masa, pengurusan projek, semangat berpasukan dan hampir semua perkara yang ingin anda capai dalam hidup.
Teori aliran: sejarah ringkas
Aliran (flow) ialah nama yang diberikan oleh ahli psikologi Mihaly Csikszentmihalyi pada tahun 1975 selepas dia memerhatikan artis yang begitu asyik dengan kerja mereka sehingga mereka mengabaikan atau tidak terjejas dengan keperluan untuk makan, minum atau tidur.
Dalam ceramah TED terbaru, Csikszentmihalyi menunjukkan bahawa aliran menawarkan "pengalaman optimum" bagi apa-apa pun tugas yang dikerjakan, lantas membawa kepada tahap kepuasan yang lebih tinggi. Ini dianggap sebagai sebahagian daripada psikologi positif, sebagai keadaan minda yang sangat bermanfaat memberikan impak secara positif terhadap keseluruhan keadaan manusia.
Apakah pengalaman aliran?
Jadi, sebenarnya apakah syarat untuk berada dalam "keadaan aliran"? Csikszentmihalyi menerangkan unsur berikut sebagai tanda-tanda keadaan aliran, tanpa mengira budaya, pendidikan, lokasi dan sebagainya:
- Tumpuan yang sangat tinggi
- Penyatuan tindakan dan kesedaran
- Kehilangan kesedaran diri
- Perasaan bahwa melakukan tugas adalah mudah
- Perasaan kawalan yang kuat tentang tugas yang dikerjakan
- Rasa masa yang terpesong/kehilangan jejak masa
- Perasaan bagaikan tugas itu sendiri ganjaran, bahkan sebelum diselesaikan
Ahli psikologi lain juga mencadangkan bahawa rasa kemungkinan kejayaan yang kuat dan maklum balas segera ialah faktor penting, dalam hal para seniman, perkembangan yang jelas kelihatan dengan setiap sapuan berus.
Bilakah aliran boleh berlaku?
Walaupun penyelidikan asal tentang aliran adalah berdasarkan artis, keadaan aliran juga boleh berlaku dalam pelbagai tetapan yang meluas, termasuklah sukan, tempat kerja atau pun melakukan larian waktu malam. Ideanya ialah aliran merupakan pemikiran yang dipupuk dengan perkara berikut:
- Matlamat yang jelas
- Cabaran yang boleh diatasi
- Aktiviti yang menyeronokkan/bermanfaat untuk dilakukan, juga dikenali sebagai tugas autotelis
Boleh dikatakan, untuk mengalami keadaan aliran dalam bentuknya yang sebenar—sehingga tahap boleh menyaingi artis yang sedang berkarya—perkara berikut juga diperlukan:
- Kesungguhan untuk menikmati atau nikmat tugas yang dikerjakan yang telah ditetapkan
- Rasa bahawa tahap kemahiran atau pencapaian umum anda boleh ditingkatkan melalui tugas ini
Bolehkah anda mencapai aliran di tempat kerja?
Tidak kiralah betapa anda menyukai kerja anda, bukan semua tugas yang anda lakukan akan menjadi minat anda. Ini tidak bermakna mustahil untuk mencari keadaan aliran di sini; Csikszentmihalyi mencadangkan bahawa aliran berhubung kait dengan motivasi dan juga kegembiraan secara umum. Apabila diterjemahkan di tempat kerja, ini bermakna perkara seperti budaya korporat, keseimbangan kerja dan kehidupan serta pejabat anda atau persekitaran bekerja dari rumah , semuanya memainkan peranan dalam memupuk pemikiran aliran.
Aliran tidak boleh dicapai jika tugas itu tidak bermakna. Sebab utama pelukis boleh begitu asyik dengan kerja mereka adalah kerana mereka berasa kebertanggungjawapan peribadi yang kuat, berbangga dan rasa pencapaian dalam tugas itu sendiri. Ini bermakna anda dan pasukan anda harus dapat berkongsi sifat sebegini ketika menangani tugas dan projek bersama-sama.
Mengajak pasukan anda untuk menumpukan perhatian
Minat semula jadi anda mungkin bukan untuk setiap tugas yang anda laksanakan tetapi secara idealnya, anda sepatutnya mempunyai keinginan yang mendalam untuk berusaha sebaik mungkin di tempat kerja. Lagipun, inilah perbezaan antara mengetahui jika kita melakukan kerja yang betul atau perlu beralih arah. Jika kakitangan bekerja dari rumah, terokai pembinaan pasukan maya untuk menyatukan pekerja. Pasukan kolaboratif dan bermotivasi boleh mencapai aliran atau sesuatu yang hampir dengan aliran, dengan melakukan perkara berikut:
Hapuskan gangguan
Keadaan pemikiran aliran tidak berlaku dengan serta-merta, ini mengambil masa untuk meresapi dalam tugas dan kemudian seidkit masa untuk benar-benar berada dalam zon. Jadi, pastikan tiada apa-apa yang akan mengganggu anda daripada proses tersebut. Anda juga boleh mengasingkan suatu tempoh masa yang ditetapkan untuknya, cuba gunakan teknik pengurusan masa seperti Pomodoro untuk memastikan anda benar-benar komited dengan tugas yang dikerjakan. Anda juga perlu menyimpan telefon, membisukan pemberitahuan atau membatalkan perkara lain yang mengganggu.
Redamkan minda anda
Anda dan pasukan anda boleh diletakkan dalam bilik berdinding putih dan gangguan masih boleh menemui anda. Fikiran yang menerawang, tekanan yang berterusan dan semua kebimbangan yang datang dengan kehidupan harian boleh dengan senang merosakkan peluang anda untuk mencapai aliran. Unsur lain yang dicadangkan untuk mencapai aliran ialah pengamalan kesedaran, yang mana anda benar-benar harmoni dengan diri anda. Perkara seperti meditasi harian boleh membantu anda menenangkan minda anda, menjauhkan pemikiran yang mengganggu dan mendorong diri anda untuk mencapai matlamat.
Ketahui masa pasukan anda
Semua orang bekerja dengan cara yang berbeza: sesetengah orang mempunyai prestasi tertinggi pada waktu pagi manakala orang lain pula lebih aktif selepas makan tengah hari. Jangan lupa bahawa untuk pasukan anda memanfaatkan aliran sepenuhnya, anda semua tidak perlu melakukannya bersama-sama. Aliran ialah pengalaman peribadi dan ini adalah tentang anda mendorong diri sendiri, bukan pengurus anda meminta anda untuk "menumpukan perhatian sekarang." Oleh itu, pengajaran penting di sini adalah mempunyai jangkaan yang realistik. Anda juga sepatutnya sedar akan masa bekerja aliran puncak ahli pasukan anda agar anda tidak mengganggu mereka dengan permintaan mendadak 1:1 pada 3 petang apabila anda tahu mereka berkemungkinan tidak berada dalam zon.
Jadikannya mencabar
Terdapat sebab psikologi yang kukuh bahawa orang menyedari hari-hari dalam kehidupan mereka akibat bermain permainan video, menangani cabaran yang sama berulang kali untuk merasakan kegembiraan dan pencapaian apabila mereka mencapai matlamat mereka. Walaupun permainan video kelihatan seperti perkara paling jauh daripada kerja profesional, tetapi kebanyakan keperluan motivasi intrinsik untuk aliran ada dalam pengalaman itu. Persekitaran yang mengasyikkan, cabaran berterusan, pengetahuan bahawa mereka boleh mengatasinya dan perasaan bahawa anda sentiasa menambah baik dan mempelajari kemahiran baharu. Sebenarnya, terdapat permainan video yang didedikasikan dengan konsep aliran Csikszentmihalyi. Pengajaran di sini adalah jangan mengharapkan pasukan anda untuk menumpukan perhatian semasa mengerjakan lembaran excel. Anda perlu meletakkan tugas dengan cara yang jelas, difikirkan dengan baik dan menarik serta menugaskan tugas yang sesuai dengan kekuatan setiap ahli pasukan anda. Ingat: musuh utama aliran ialah perasaan bosan.
Lengkapkan pasukan anda untuk fokus
Sama seperti permainan video yang direka untuk menarik perhatian, penyediaan alat yang betul juga boleh membantu anda dan pasukan anda fokus, meminimumkan penukaran konteks dan memaksimumkan penglibatan mereka. Alat ruang kerja pintar membantu pasukan anda bekerjasama dan bekerja dengan cara yang unik dan bebas, agar mereka boleh mengawal dan menyatakan pendirian mereka dalam kerja mereka. Contohnya ialah dokumen Dropbox Paper , yang membolehkan anda mencipta apa-apa daripada galeri video kepada garis masa projek dan senarai tugasan, semuanya daripada satu templat serba guna. Ini memberikan alat yang diperlukan oleh pasukan anda di satu tempat dan kebebasan untuk bekerjasama dengan cara yang mereka dapati paling menarik, lantas membawa mereka lebih dekat untuk menemui aliran.
Bertungkus-lumus bukanlah aliran
Jangan salah anggap jam bekerja yang lama dengan tugas yang sama sebagai berada dalam zon. Aliran adalah apabila anda tidak sedar pun masa berlalu, apabila anda berasa bermotivasi dengan tugas itu sendiri dan kerja yang anda lakukan, apabila anda meneruskan kerja kerana anda sangat asyik dan gembira melakukan tugas tersebut. Sebaliknya, duduk di meja selama berjam-jam untuk menyiapkan satu tugas cumalah bertungkus-lumus untuk menyiapkan sesuatu kerana anda perlu berbuat demikian.
Jika minda anda memikirkan tentang perkara lain selain daripada tugas di hadapan anda atau anda tidak berasa perkara yang anda lakukan adalah bermanfaat atau positif, maka berkemungkinan anda tidak mengalami aliran. Berita baiknya ialah aliran itu sendiri bukanlah kemahiran yang anda pelajari. Aliran ialah pengalaman yang berlaku secara semula jadi dan pemikiran yang boleh anda pupuk. Jika ada yang tidak berkesan untuk anda mencapai aliran, pertimbangkan semula tugas, pendekatan atau persekitaran anda dan cuba lagi.