Skip to content (Press Enter)

Apakah itu pemacu keras?

Berikut ialah semua yang perlu anda tahu tentang pemacu cakera keras, cara ia berfungsi, batasan dan cara menjimatkan ruang cakera keras.

Pelbagai jenis fail yang boleh disimpan pada pemacu keras

Memahami pemacu keras

Pemacu keras ialah bahagian perkakasan yang digunakan untuk menyimpan kandungan dan data digital pada komputer. Setiap komputer mempunyai pemacu keras dalaman, tetapi anda juga boleh mendapatkan pemacu keras luaran yang dapat digunakan untuk mengembangkan simpanan komputer. Di sini, kita akan meneroka pelbagai jenis pemacu keras serta kelebihan dan kekurangannya.

Jenis simpanan sekunder

Semua komputer memerlukan pemacu untuk menyimpan data secara jangka panjang. Ini dikenali sebagai simpanan sekunder dan RAM (Ingatan Capaian Rawak) komputer merupakan simpanan utama.

Secara amnya, simpanan sekunder terdapat dalam dua bentuk: pemacu cakera keras (HDD) dan pemacu keadaan pepejal (SSD). Walaupun anda mungkin melihat SSD dirujuk sebagai jenis pemacu keras, ini tidak begitu tepat dan sangat penting memahami perbezaan antara HDD dan SSD.

Apakah itu HDD?

HDD ialah jenis pemacu keras yang lebih “tradisional”.

Pemacu cakera keras terdiri daripada cakera bermagnet—dikenali sebagai piring—yang berputar dengan pantas, biasanya antara 5,400 dan 15,000 RPM. Semakin pantas cakera magnetik berputar, semakin pantas komputer anda dapat mengakses maklumat daripadanya.

Semua data digital terhasil dalam bentuk kod perduaan—siri satu dan sifar yang dapat mewakili sebarang jenis maklumat. Kepala baca/tulis pemacu keras digunakan untuk memasukkan satu dan sifar ini dengan memagnetkan bahagian piring. Setiap bahagian kecil piring menempatkan bit, yang sama dengan 1 atau 0. Kepala dapat mengesan kemagnetan setiap bahagian, seterusnya “membaca” maklumat daripadanya. Kepala sama yang dapat “membaca” data juga dapat “menulis” data itu, dengan menukar pemagnetan bit pada piring.

Setiap kali perubahan dibuat—seperti fail baharu disimpan atau fail sedang dihapuskan—kepala pemacu keras akan melaraskan kemagnetan piring dengan sewajarnya. Anda boleh membayangkannya seperti pemain rakaman, dengan cakera vinil sebagai piring berisi maklumat dan lengan sebagai kepala yang mengimbas maklumat tersebut.

Oleh sebab data disimpan secara magnet, HDD ialah peranti tidak meruap, yang bermakna ia mengekalkan data walaupun komputer dimatikan.

Kini, HDD dalaman boleh mencapai kapasiti maksimum 20 TB. Sejak kemunculan SSD, pemacu cakera keras jarang digunakan sebagai simpanan sekunder komputer, tetapi masih boleh dipercayai sebagai pilihan simpanan luaran.

Apakah itu SSD?

SSD (pemacu keadaan pepejal) ialah jenis pemacu keras yang lebih baharu. Ia telah menjadi format pilihan untuk cakera keras dalaman komputer riba mahal, semua telefon pintar dan tablet turut menggunakan bentuk SSD.

Pemacu keadaan pepejal menggunakan ingatan kilat, yang juga digunakan dalam pemacu kilat USB dan kad ingatan untuk kamera digital. Ia tidak melibatkan magnet, SSD menggunakan semikonduktor yang menyimpan data dengan mengubah keadaan elektrik trilion litar yang terkandung dalam SSD. Disebabkan ia tidak mempunyai bahagian yang bergerak, SSD bukan sahaja berfungsi lebih cepat (kerana anda tidak perlu menunggu cakera berputar dan kepala mengumpulkan maklumat), malah ia cenderung bertahan lebih lama berbanding HDD.

Kos SDD jauh lebih mahal untuk dihasilkan, jadi walaupun ia semakin lazim digunakan sebagai pemacu cakera utama untuk komputer riba dan PC mahal, namun pemacu cakera keras masih menjadi pilihan oleh kebanyakan orang sebagai pilihan cakera luaran yang lebih murah.

Sejarah ringkas pemacu cakera keras

Setelah bereksperimen dengan pita magnet sebagai cara penyimpanan data, pemacu cakera keras komersial pertama direka bentuk pada tahun 1956 oleh sebuah pasukan di IBM yang diketuai oleh Reynold B. Johnson.

Pasukan di IBM itu mendapati bahawa mereka dapat menyimpan data pada cakera logam bermagnet yang dapat ditulis ganti dengan maklumat baharu, yang membawa kepada pembinaan sistem pemacu cakera keras pertama, yang dikenali sebagai RAMAC (Kaedah Capaian Rawak Perakaunan dan Kawalan).

Saiz pemacu cakera keras asal bersaiz kira-kira dua buah peti sejuk, dengan jumlah keseluruhan 50 piring bersaiz 24 inci yang berputar pada 1,200 RPM. Meskipun saiznya besar, RAMAC memiliki kapasiti simpanan sebanyak 5 MB sahaja—lebih kurang saiz satu imej, walaupun kapasitinya rendah, kosnya menelan kira-kira $10,000 bagi setiap megabait.

RAMAC ditempatkan di pusat data IBM sehingga IBM memperkenalkan simpanan boleh tanggal dalam tahun 1960-an. Pemacu Simpanan Cakera 1311 IBM pada tahun 1962 menampung 2.6 MB kapasiti pada enam piring bersaiz 14 inci. Ini kira-kira sebesar saiz mesin basuh pinggan mangkuk.

Komputer desktop peribadi muncul pada tahun 70-an dan pada masa yang sama, IBM sedang membangunkan cakera liut pertama. Kali pertama dikeluarkan pada tahun 1971, cakera liut ialah cakera magnet mudah alih pertama. Anda boleh menganggap ia sebagai pemacu keras luaran pertama. Cakera liut menjadi standard untuk simpanan cakera sehingga CD boleh tulis dan pemacu kilat USB digunakan secara umum sekitar penghujung abad itu. Cakera keras baca/tulis pertama untuk komputer peribadi telah dikeluarkan pada tahun 1972 oleh Memorex.

Menjelang tahun 1980, banyak syarikat besar telah bergabung dengan permainan HDD, dan pemacu ST-506 Shugart Technology menjadi HDD paling padat pada saiz 5.25 inci dengan kapasiti 5 MB yang boleh didapati pada masa itu. Sementara itu, IBM mengeluarkan IBM 3380, yang merupakan pemacu keras pertama yang menawarkan simpanan 1 GB.

Pada tahun 1983, Rodime melancarkan RO352, HDD 3.5 inci pertama, dengan dua piring dan berkapasiti 10 MB. Tidak lama kemudian, HDD 3.5 inci menjadi standard untuk komputer desktop dan masih digunakan hingga hari ini (dengan HDD komputer riba bersaiz 2.5 inci).

Dalam tahun 80-an, pemacu keras luaran yang kita kenal sekarang mula dihasilkan, dari semasa ke semasa dan seiring dengan saiz fizikal pemacu keras luaran yang mengecil, kapasiti pemacu keras bertambah.

Apakah yang boleh dilakukan oleh pemacu keras?

Secara ringkasnya, pemacu keras menyimpan data. Pada komputer, ini termasuk semua foto, video, muzik, dokumen dan aplikasi anda. Bukan itu sahaja, kod untuk sistem pengendalian komputer, rangka kerja dan pemacu juga disimpan pada pemacu keras. Kapasiti pemacu keras diukur dalam megabait (MB), gigabait (GB) dan terabait (TB).

Ini berbeza daripada RAM (Ingatan Capaian Rawak) yang merupakan simpanan komputer sementara yang memerlukan elektrik untuk menyimpan data, menjadikan ia ingatan meruap—ia hanya menyimpan data apabila komputer dihidupkan. RAM tidak digunakan untuk data peribadi, tapi untuk data komputer sahaja. Komputer anda memerlukan ingatan untuk beroperasi dengan lancar dan membolehkan anda beralih daripada satu tugas kepada tugas lain atau satu aplikasi kepada aplikasi lain tanpa kehilangan tempat anda bekerja. RAM dikenali sebagai storan utama, sementara HDD dan SSD tergolong dalam storan sekunder.

Pemacu keras ialah peranti simpanan yang diperlukan untuk menyimpan fail dan data anda untuk jangka masa panjang. Setiap kali anda menyimpan fail pada komputer, anda menyimpan fail itu pada pemacu keras komputer anda. Pemacu keras ibarat kabinet pemfailan untuk fail digital anda.

Apakah itu pemacu keras luaran?

Pemacu keras luaran ialah pemacu keras yang tidak terbina dalam komputer. Ia peranti mudah alih yang boleh anda pasang pada sebarang komputer untuk mengakses data yang disimpan padanya. Walaupun pemacu keras dalaman disambungkan secara langsung ke papan induk komputer dan menyimpan data, rangka kerja, pemacu, dan perisian sistem pengendalian sebagai tambahan kepada fail anda, pemacu keras luaran kebanyakannya digunakan untuk menyimpan fail peribadi.

Biasanya pemacu keras komputer boleh dikeluarkan dan dinaik taraf, tetapi ini merupakan tugas yang sukar, maka ramai yang memilih pemacu keras luaran apabila komputer mereka mula kekurangan ruang simpanan.

Kini, pemacu keras luaran dapat memuatkan data hingga 20 TB, lebih sejuta kali besar berbanding yang ditawarkan oleh pemacu keras pertama sekali pada tahun 1956. Kapasiti ini, digandingkan dengan kemudahalihan dan kemampuan pemacu keras luaran, menjadikan ia penyelesaian terbaik untuk meningkatkan kapasiti komputer, sehingga kemunculan penyimpanan awan .

Kekurangan penggunaan pemacu keras luaran untuk simpanan

Jika dibandingkan dengan hanya menggunakan kapasiti simpanan dalaman komputer anda, pemacu keras luaran merupakan penyelesaian bermanfaat, tetapi ia mempunyai beberapa risiko dan batasan yang penting untuk dipertimbangkan.

Seperti pemacu keras dalaman, HDD luaran juga mempunyai risiko kehilangan data. Ini mungkin disebabkan oleh serangan seperti perisian perosak atau virus, atau risiko akibat kerosakan dan kemerosotan semula jadi seperti terdedah kepada cahaya matahari atau panas yang keterlaluan, terdedah kepada cecair, habuk, atau gangguan daripada medan magnet lain.

Disebabkan banyak bahagian bergerak yang rumit yang menjadikan pemacu cakera keras berfungsi, ia mudah terdedah kepada kerosakan, terutamanya jika dibawa ke mana-mana sahaja anda pergi. Jika pemacu keras rosak, anda mungkin masih boleh mendapatkan semula data yang disimpan pada piringnya, tetapi ini akan menjadi proses yang rumit dan mungkin mahal. Dalam komputer, HDD merupakan salah satu bahagian perkakasan yang paling mudah terjejas kerana bahagiannya yang bergerak.

Selain itu, pemacu keras biasa tidak dilindungi kata laluan atau disulitkan, jadi jika anda tersalah letak atau ia dicuri, maklumat peribadi anda mudah terjejas.

Banyak pemacu keras luaran juga hanya menyokong sistem pengendalian tertentu, atau hanya dapat menyokong satu sistem pengendalian pada satu masa. Anda mungkin mempunyai MacBook atau PC Windows dan mendapati bahawa pemacu keras anda tidak dapat membaca dan menulis pada kedua-dua peranti. Hal ini boleh mengganggu jika anda ingin menggunakan pemacu keras anda untuk memindahkan fail dari satu tempat ke tempat yang lain. Kebanyakan pemacu keras mesti diformatkan semula—menyebabkan kehilangan semua data—sebelum anda dapat mengkonfigurasi data itu untuk menulis pada sistem pengendalian yang berbeza.

Menggunakan penyimpanan awan dan bukannya pemacu cakera keras

Kemunculan penyimpanan awan memberikan penyelesaian kepada batasan dan risiko pemacu keras, yang menawarkan alternatif penyimpanan data yang lebih selamat dan lebih mudah diakses. Menyimpan fail pada awan bermakna menyimpannya dalam talian, jadi ia tidak akan mengambil sebarang ruang pada peranti anda.

Dengan Dropbox, anda boleh memiliki simpanan hingga 3 TB pada akaun peribadi yang boleh digunakan untuk hampir semua jenis fail dan simpanan sebanyak yang anda perlukan dengan akaun Dropbox Business Advanced dan Enterprise.

Anda boleh terus mengembangkan penyimpanan awan anda tanpa menggunakan sebarang ruang fizikal daripada membeli lebih banyak pemacu luaran setelah ia penuh. Apabila anda mempunyai fail yang disimpan pada pemacu keras luaran, agak menyusahkan untuk mencari fail yang anda perlukan. Dengan penyimpanan awan, semua maklumat berada di satu tempat yang boleh anda akses dan cari dengan mudah daripada mana-mana peranti menggunakan sambungan Internet. Pemacu keras luaran cenderung bersambung ke komputer melalui USB, jadi ia hanya dapat disambungkan ke peranti tertentu, sementara penyimpanan awan boleh diakses bukan sahaja pada PC dan komputer riba, bahkan juga tablet dan telefon pintar.
Apabila anda mempunyai fail yang disimpan pada pemacu keras luaran, agak menyusahkan untuk mencari fail yang anda perlukan. Dengan penyimpanan awan, semua maklumat berada di satu tempat yang boleh anda akses dan cari dengan mudah daripada mana-mana peranti menggunakan sambungan Internet. Pemacu keras luaran cenderung bersambung ke komputer melalui USB, jadi ia hanya dapat disambungkan ke peranti tertentu, sementara penyimpanan awan boleh diakses bukan sahaja pada PC dan komputer riba, bahkan juga tablet dan telefon pintar.
Dan jika anda mahu memindahkan kandungan yang disimpan pada pemacu luaran pada awan, gunakan sandaran pemacu luaran—anda boleh mengakses kandungan itu apabila anda sibuk.

Dropbox menggunakan pelayan yang ditempatkan di pusat data di seluruh dunia. Anda tidak boleh menjatuhkan awan dan merosakkan fail di dalamnya secara tidak sengaja seperti yang mungkin terjadi pada pemacu keras luaran—semua maklumat didigitalkan dan semuanya selamat. Apabila anda menyimpan fail ke Dropbox, anda menyimpan dalam ruang dilindungi yang disulitkan, yang sangat kurang terdedah kepada kecurian berbanding pemacu keras tradisional.

Dropbox ialah penyelesaian yang selamat dan serba boleh untuk menyandarkan dan menyimpan fail, menjimatkan ruang simpanan pada komputer anda serta menyelesaikan masalah dan risiko menyimpan data penting anda pada pemacu keras luaran.

Elakkan risiko simpanan pemacu cakera keras

Bandingkan pelan