Apa itu kemahiran insaniah?
Mengambil calon yang sangat berpengalaman mungkin kelihatan seperti keputusan yang paling logik dan masuk akal; tetapi, ada banyak lagi perkara yang membentuk ahli pasukan yang baik berbanding kelayakan dan pengalaman. Memahami perbezaan antara kemahiran insaniah dan ketara serta sebab kemahiran insaniah sangat penting dalam membentuk pasukan yang lebih kuat dan cekap.
Apabila perniagaan terus berkembang dengan pesat dan konsep tradisional "kerjaya" beralih dan membentuk semula, maka mempunyai kemahiran yang dapat dipinda milik yang dapat diterapkan dalam apa-apa jua jawatan dan industri, menjadi semakin penting setiap hari.
Walaupun untuk sekian lama kemahiran ketara dianggap sebagai "kemahiran yang lebih profesional" dan kemahiran insaniah pula dilihat sebagai pengisi ruang resume sahaja, tetapi kajian telah menunjukkan bahawa kini, ahli profesional sumber manusia cenderung untuk memilih kemahiran insaniah berbanding kemahiran ketara semasa memilih calon yang sesuai.
Kemahiran ketara boleh diukur dan walaupun kecekapan nyata adalah penting dalam apa-apa jua jawatan, tetapi ini bukanlah penentu mutlak perkara yang membentuk pekerja yang baik. Kemahiran ketara merujuk kepada kebolehan teknikal seperti matematik, pemahaman membaca, kefasihan bahasa dan kemahiran komputer, misalnya.
Sebaliknya, kemahiran insaniah ialah sifat dan ciri keperibadian yang tidak dapat diukur, tetapi sama pentingnya di tempat kerja dan tempat lain. Kemahiran ini berakar pada tingkah laku, sikap dan nilai-nilai.
Walaupun kemahiran ketara mempunyai impak yang lebih besar pada kerja yang anda hasilkan, tetapi kemahiran insaniah membantu membangunkan hubungan manusia dan mewujudkan rasa budaya dan bermasyarakat di tempat kerja. Oleh itu, sudah tentulah kemahiran insaniah mempunyai impak yang positif pada kerja yang anda hasilkan, terutamanya apabila bekerja secara usaha sama.
Apakah kemahiran insaniah yang paling penting?
Kemahiran insaniah bukan sekadar kemahiran perorangan dan sikap yang positif. Kemahiran insaniah utama yang disenaraikan di bawah boleh saling berkaitan antara satu sama lain dan berkongsi banyak prinsip dan penggunaan yang sama. Tiada satu pun kemahiran insaniah yang paling penting dan senarai tersebut terus berkembang, tetapi terdapat beberapa sifat peribadi yang sangat dihargai untuk dimiliki di tempat kerja moden:
Senarai kemahiran insaniah
1. Kecerdasan emosi
Kecerdasan emosi merangkumi banyak ciri-ciri penting kemahiran insaniah, daripada penyelesaian konflik kepada kemahiran sosial sehinggalah kesedaran diri kepada belas kasihan dan empati.
Seseorang dengan kecerdasan emosi yang tinggi mempunyai kebolehan untuk mentafsir, memahami dan mengurus emosi diri mereka dan orang yang bekerja dengan mereka. Mereka boleh mengendalikan dan mengurus tekanan sambil membantu orang lain berasa selesa serta mereka memahami kesan tingkah laku mereka terhadap persekitaran kerja. Kebolehan ini untuk membina hubungan sesama manusia yang kukuh ialah kemahiran insaniah yang boleh menggalakkan produktiviti dan prestasi pasukan anda.
Sebahagian besar daripada kecerdasan emosi adalah memiliki kemahiran mendengar yang hebat. Mendengar secara aktif akan mengilhamkan komunikasi yang lebih terbuka dan produktif di tempat kerja serta memastikan semua orang dalam pasukan berasa diiktiraf, difahami dan dihargai.
2. Komunikasi
Kemahiran komunikasi adalah penting di tempat kerja dan ini bukan sekadar membantu mewujudkan persekitaran yang terbuka dan mesra, tetapi juga memastikan kerja yang anda hasilkan adalah bersifat fokus dan jelas.
Pasukan yang tahu berkomunikasi dengan baik akan menjadi lebih cekap, lebih teratur dan lebih selaras dengan idea serta perspektif masing-masing. Memiliki kemahiran komunikasi tidak bermakna memiliki bakat bertutur dengan baik; ini melampaui komunikasi lisan. Kebolehan untuk menyampaikan idea yang rumit dengan mudah dan menyampaikan mesej penting dengan jelas dan ringkas, sama ada secara lisan, tulisan atau sebaliknya, akan mengurangkan kesilapan ketidakcekapan.
Kerja usaha sama yang baik tidak mungkin dicapai tanpa komunikasi yang berkesan. Ini sangat penting kerana persekitaran bekerja jarak jauh dan digital menjadi semakin tersebar luas; kemahiran insaniah yang kuat membantu untuk menyatukan orang ramai walaupun mereka bekerja dari jauh. Alat seperti Dropbox direka untuk memudahkan dan meningkatkan kerjasama serta komunikasi, tetapi memastikan orang yang menggunakan alat tersebut dipadankan dengan kemahiran insaniah ialah kuncinya. Terutamanya dalam persekitaran pertama maya yang sukar untuk menyampaikan pandangan anda. Menggunakan perakam skrin seperti Dropbox Capture, katakan lebih banyak dalam masa yang singkat dan berikan kesan dengan kata-kata anda sendiri. Ini cara yang bagus untuk memanfaatkan komunikasi tak selaras sepenuhnya.
3. Kerja berpasukan & rasa hormat
Menjadi pemain pasukan yang baik bermakna berusaha sedaya-upaya untuk mencapai matlamat kolektif pasukan. Ini bermakna mengetepikan rasa pentingkan diri dan beanr-benar mengambil berat akan orang yang bekerjasama dengan anda, mengambil apa-apa langkah yang perlu bagi memastikan pasukan beroperasi dengan lancar dan bersatu serta meletakkan kepentingan pasukan melebihi kepentingan diri. Petugas teras bersikap terbuka dan jujur antara satu sama lain. Mereka menunjukkan kebolehharapan dan kesetiaan dalam segala hal.
Rasa saling hormat-menghormati antara anda dan rakan sekerja adalah sangat penting. Ini bermakna menghormati pandangan dan pendapat yang berbeza, menghormati setiap tanggungjawab orang dan menghormati kerja yang anda lakukan. Tempat kerja tanpa rasa hormat tidak boleh menghasilkan kerja yang bereputasi baik.
4. Kefleksibelan & kreativiti
Kebolehan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran dan cabaran baharu ialah sifat yang sangat berharga. Tanpa mengira kerja, syarikat atau industri, kita sepatutnya sentiasa menjangkakan hal yang tidak diduga dan mempunyai kefleksibelan untuk menyesuaikan diri dengan apa-apa yang dihadapi. Sama ada menyesuaikan diri dengan teknologi baharu, sistem dan struktur baharu atau cuma projek baharu, sifat serba boleh adalah penting untuk kejayaan mana-mana pasukan pun.
Kreativiti adalah sama penting dalam persekitaran perniagaan yang sentiasa berubah-ubah; memiliki kebolehan untuk berfikir di luar kotak dan menyusun strategi konsep dan idea inovatif membuatkan anda ahli yang dipercayai dan istimewa dalam mana-mana pasukan. Sesetengah masalah memerlukan penyelesaian baharu dan kreativiti ialah pendorong inovasi dan kemajuan. Pasukan pemikir kreatif ialah pasukan yang dilengkapi dengan baik untuk pertumbuhan dan pembangunan.
5. Penyelesaian masalah & pemikiran kritis
Kemahiran menyelesaikan masalah yang digandingkan dengan kefleksibelan dan kreativiti, ialah kebolehan untuk membongkar masalah dan mengambil tindakan logik dengan segera untuk menyelesaikannya. Dengan mengetahui pasukan anda bersedia dan dapat menyusun strategi penyelesaian yang produktif dan rasional bagi masalah yang tidak dijangka, maka ini akan meningkatkan dan mengilhamkan keyakinan di tempat kerja dan membantu anda menangani halangan tanpa berasa tertekan atau terbeban.
Kebolehan untuk melihat sesuatu isu dengan mendalam dan menganalisis serta menilai nuansa isu dengan pendekatan yang logik dan sistematik akan memastikan anda sentiasa mendapat penyelesaian paling kukuh. Pemikiran kritis bermakna membongkar setiap sudut isu sepenuhnya dan mengelakkan membuat keputusan yang berdasarkan naluri atau gerak hati.
6. Kepimpinan
Tanpa mengira pangkat atau jawatan kerja mereka yang khusus dalam hierarki syarikat, kemahiran kepimpinan adalah sangat penting dalam sebarang peranan. Anda mahu pasukan anda berasa dimotivasikan, dipacu dan berorientasikan matlamat serta anda mahu melancarkan pertumbuhan dan pembangunan. Memastikan setiap individu dalam pasukan anda mempunyai kemahiran kepimpinan yang kukuh akan memberi anda jaminan bahawa anda boleh bergantung pada sesiapa yang mengawal.
Apabila anda membawa masuk seorang ahli dalam pasukan anda, anda perlu dapat melihat mereka dalam pelan perniagaan jangka panjang anda. Anda mahukan pasukan yang rela dan bersedia untuk maju serta mempunyai ruang dan alat untuk berbuat demikian.
Pemimpin yang baik tidak hanya memberikan arahan, mereka menginspirasi dan menggalakkan pasukan mereka serta mereka mengambil berat akan orang yang bekerja dengan dan untuk mereka. Kepimpinan tidak terhad untuk bos, pengurus dan penyelia sahaja. Seseorang dengan kemahiran kepimpinan mampu untuk mengambil hak pemilikan dan kuasa bagi projek atau tugas yang paling kecil sekali pun.
7. Pengurusan & penyusunan masa
Sangat penting untuk anda mengetahui anda boleh mempercayai pasukan anda untuk menyiapkan kerja dengan segera, tanpa menjejaskan kualiti kerja. Pengurusan masa melebihi daripada sekadar muncul tepat pada waktunya dan menghantar kerja apabila diminta. Ini adalah tentang mengetahui cara untuk mengutamakan, cara untuk menjadualkan serta cara untuk memanfaatkan sebahagian besar masa yang anda ada. Pengurusan masa bukan sekadar meningkatkan produktiviti dan keberkesanan, ini juga memberikan impak positif pada kualiti kerja yang anda hasilkan.
Selerakan tidak bagus untuk mana-mana persekitaran bekerja, sama ada di pejabat, secara digital atau dalam fikiran anda. Menjadi teratur bermakna mengetahui cara untuk menguruskan bukan sahaja ruang anda bekerja dengan cekap, tetapi juga masa dan beban kerja anda. Seseorang yang benar-benar teratur akan dapat mencipta dan mematuhi sistem serta struktur yang membantu keberkesanan serta tidak akan membiarkan diri mereka berasa terbeban atau proses mereka menjadi kacau-bilau.
8. Motivasi & etika kerja
Anda ingin tahu bahawa anda memberikan hasil kerja yang terbaik, sama juga dengan rakan sekerja anda. Maka, salah satu cara untuk berbuat demikian adalah untuk memahami, menggalakkan dan memanfaatkan motivasi orang yang bekerja dengan anda.
Misalnya, pengekod yang berkemahiran tinggi mungkin kelihatan istimewa, tetapi potensi sebenar mereka tidak akan dilihat pada kerja yang mereka lakukan melainkan mereka digalakkan untuk melakukan yang terbaik.
Motivasi boleh dan sepatutnya dipengaruhi oleh pencapaian peribadi dan profesional. Anda perlu tahu bahawa pasukan anda benar-benar mengambil berat tentang perkara yang mereka lakukan. Jika mereka tidak bersemangat dengan kerja mereka dan jika mereka tidak menetapkan matlamat pasukan dan organisasi yang lebih besar, maka mereka tidak akan berusaha sedaya-upaya.
Etika kerja adalah sangat serupa dengan motivasi. Seseorang yang mempunyai etika kerja yang baik menikmati kerja mereka dan mereka memahami serta menerima tanggungjawab mereka. Mereka berdisiplin, fokus dan sentiasa profesional. Etika kerja dan motivasi yang kuat bermakna memahami kerja keras membuahkan hasil dan berusaha sedaya-upaya dalam segala aspek pekerjaan.
Menggunakan kemahiran insaniah dalam talian
Kemahiran insaniah mungkin kelihatan seperti kualiti yang hanya dipaparkan secara bersemuka, tetapi terdapat banyak cara untuk mengenali dan menggunakan kemahiran insaniah semasa bekerja dan bekerjasama dari jauh dan dalam talian. Apabila kerja jarak jauh semakin kerap dilihat dalam perniagaan di seluruh dunia, maka keperluan kemahiran insaniah untuk menjadikan kerjasama dalam talian lebih harmoni dan produktif adalah lebih penting daripada sebelumnya.
Sama ada tentang kemampuan untuk menyusun sistem fail dengan cekap, menggunakan alat untuk memudahkan pengurusan tugas atau menggalakkan komunikasi yang lancar dalam pasukan anda, Dropbox memudahkan kerja berpasukan dalam talian yang berkesan dengan membolehkan anda menerima dan menambah baik kemahiran insaniah anda.
Kemahiran insaniah melahirkan pekerja yang bertungkus-lumus
Ini merupakan beberapa daripada banyak kemahiran penting yang boleh membawa kepada kejayaan kerjaya yang luar biasa.
Tidak kisahlah betapa bagusnya seseorang dalam tugas tertentu, tetapi jika mereka tidak memiliki kemahiran insaniah yang baik, maka mereka tidak begitu berharga sebagai ahli pasukan. Kemahiran insaniah diperlukan untuk memahami matlamat dan wawasan syarikat, untuk mengenali niat kerja, untuk menyampaikan dan menerima idea, untuk memupuk persekitaran bekerja yang selesa dan selamat serta untuk membolehkan pekerja mencapai potensi maksimum mereka.
Kemahiran teknikal bukanlah tidak penting, tetapi melainkan ini ditemani dengan kemahiran insaniah yang kuat, maka kebolehan teknikal tidak ada peluang untuk bersinar.
Sebagai pengambil pekerja, semasa anda membuat huraian kerja atau menulis soalan temu duga, pastikan anda sentiasa mengingati kemahiran ini dan jelas bahawa kemahiran ini tidak kurang pentingnya daripada pengalaman dan kepakaran. Pastikan bahawa apabila anda membaca surat pengiring, menilai resume atau mengadakan temu duga, anda mencari lebih daripada kelayakan dan kecekapan khusus kerja serta memantau kemahiran perorangan, sikap dan nilai-nilai calon.
Mengupah pekerja dengan memikirkan tentang kemahiran insaniah bermakna anda mewujudkan persekitaran yang serba boleh, berkesan, produktif dan bersemangat yang mana semua orang berasa dihargai dan dipercayai.