Cara menjadi penyunting video
Ingin mengubah kerjaya? Kinilah masa yang terbaik untuk menjadi penyunting video. Lihat tip popular kami untuk memulakan kerjaya penyuntingan video profesional.
Perkhidmatan penstriman baharu—dan rancangan TV serta filem yang dihasilkannya—sentiasa dikeluarkan tanpa henti. Memandangkan kandungan TV dan filem semakin mendapat permintaan, lebih banyak penyunting video diperlukan untuk mengusahakan projek-projek ini—bukan sahaja untuk memangkas rakaman mentah, tetapi juga untuk menambah kesan khas dan membuat teknik penyuntingan lain.
Tambahan lagi, bukan hanya peranan dalam media dan hiburan yang perlu diisi. Banyak syarikat kini menumpukan usaha pemasaran mereka kepada kandungan video yang lebih menarik untuk dikongsi di laman web mereka, profil media sosial dan di pelantar lain.
Malah, Biro Statistik Buruh AS meramalkan bahawa pekerjaan untuk penyunting filem dan video akan meningkat sebanyak 9% antara 2022 dengan 2032—lebih cepat berbanding dengan purata untuk semua pekerjaan.
Jadi, jika anda berminat dengan penyuntingan video dan ingin mengusahakannya sebagai kerja sepenuh masa, kinilah masa yang sesuai untuk melancarkan laluan menuju kerjaya ini.
Apakah yang dilakukan oleh penyunting video?
Penyunting video mengambil rakaman video dan audio, grafik, muzik, kesan bunyi dan kesan visual mentah, dan mengedit segmen-segmen ini bersama untuk membentuk video akhir yang dipersembahkan kepada penonton.
Penyuntingan video profesional sangatlah berbeza daripada penyuntingan amatur pada telefon anda. Penyunting video bekerja dengan perisian pakar, sering mengendalikan rakaman beratus-ratus jam, untuk memangkas dan menyunting video menjadi format yang siap.
Mereka juga bekerjasama dengan ramai pekerja kreatif lain untuk mencapai suntingan akhir itu—daripada pengarah dan penerbit sehinggalah pewarna, artis suara latar dan ahli kru produksi yang lain.
Apakah kemahiran yang perlu ada pada seorang penyunting video?
Anda tidak memerlukan ijazah atau kelayakan universiti untuk menjadi seorang penyunting video—hanya minat terhadap pekerjaan tersebut dan kesediaan untuk terus belajar dan berkembang. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kemahiran asas yang penting untuk menjadi seorang penyunting video yang berjaya:
- Kreativiti: anda memerlukan naluri yang baik tentang estetika dan penceritaan visual, serta pemahaman tentang cara perjalanan kisah akan dilihat oleh penonton yang dikehendaki.
- Perhatian terhadap perincian: kekurangan kesinambungan dalam adegan sering menyebabkan rasa kejengkelan daripada ramai penonton filem dan TV yang bermata tajam. Tanggungjawab tersebut jatuh kepada anda, untuk menghalang ketaksempurnaan ini daripada dimasukkan dalam suntingan akhir.
- Kefleksibelan: anda mungkin menghadapi keadaan yang keputusan saat akhir dibuat untuk memangkas adegan atau elemen tertentu daripada video, atau pascaproduksi mungkin ditangguhkan apabila rakaman baharu dibuat.
- Penyelesaian masalah: penyuntingan video selalunya kelihatan seperti menyusun kepingan teka-teki bersama, tetapi kadangkala kepingannya mungkin tidak sejajar seperti yang anda jangkakan, seperti adegan yang terlalu panjang dan perlu dipotong tanpa mengorbankan naratif.
- Komunikasi dan kerja berpasukan: video memerlukan banyak kerjasama dan maklum balas daripada pihak berkepentingan yang berbeza untuk memastikan projek memenuhi jangkaan dan dihantar tepat pada masanya.
Cara menjadi penyunting video profesional
Berikut ialah tip popular kami untuk menjadi seorang penyunting video—yang mempunyai sedikit atau tiada pengalaman langsung.
Berlatih, berlatih, berlatih
Memahami asas penyuntingan video dan membiasakan diri dengan alatan dan perisian standard industri adalah langkah penting untuk menceburi industri ini. Usahakan projek peribadi untuk mengembangkan kemahiran anda dalam:
- Antara muka perisian penyuntingan video pilihan anda, sama ada Adobe Premiere Pro, DaVinci Resolve ataupun Final Cut Pro
- Mengimport, mengatur dan menapis rakaman video dan audio
- Memotong, memangkas dan mencantum rakaman
- Pembetulan warna dan penggredan
- Menggunakan kesan visual dan audio serta peralihan
- Mengeksport versi akhir
Anda boleh mengambil bahagian dalam komuniti, forum atau bengkel dalam talian, atau menyertai kursus atau program latihan dalam talian untuk mendapatkan lebih banyak pengalaman dan belajar daripada penyunting lain.
Pertimbangkan jawatan tahap permulaan
Belajar sambil bekerja ialah cara terbaik untuk mengakses latihan yang diperlukan untuk berjaya menjadi seorang penyunting video dan memperoleh pengalaman dalam industri ini.
Jika anda baru sahaja bermula atau ingin beralih kerjaya sebagai seorang penyunting video selepas bekerja dalam sektor yang berbeza, maka cara yang baik untuk memantapkan diri anda adalah dengan menjalankan perantisan, latihan praktikal atau peranan dalaman tahap permulaan di sebuah syarikat produksi atau agensi kreatif.
Anda akan mempunyai kurang tanggungjawab buat masa itu, tetapi akan mendapat akses kepada banyak pengalaman daripada rakan sekerja anda. Anda juga boleh mendapatkan bantuan penyunting yang lebih tinggi dalam hierarki untuk bertindak sebagai mentor dan memberikan maklum balas tentang projek yang telah anda libatkan diri (atau usahakan pada masa anda sendiri) .
Bina portfolio anda
Pilih hasil kerja terbaik anda daripada projek peribadi dan tugasan profesional anda, dan binakannya sebagai portfolio atau gelendong tayang yang boleh anda tunjukkan kepada bakal klien atau majikan. Portfolio direka bentuk untuk menunjukkan kemahiran dan pengalaman penyuntingan video anda, maka kandungannya harus berkembang seiring dengan kebolehan anda dan keyakinan anda.
Faktor yang perlu dipertimbangkan untuk ditunjukkan dalam portfolio anda termasuk:
- Jenis kandungan video (dan audio) yang berbeza, seperti video muzik, dokumentari, filem, iklan dan tutorial
- Pelbagai gaya dan teknik penyuntingan
- Jenis rakaman yang berbeza, termasuk rakaman yang dibuat pada kamera yang berbeza dan dalam pelbagai keadaan pencahayaan
- Video untuk penonton yang berbeza di pelantar media sosial, seperti YouTube, LinkedIn atau TikTok
Ingat bahawa portfolio anda ialah tanggapan pertama bakal majikan terhadap anda, oleh itu, portfolio itu hendaklah teratur, terkini dan boleh diakses.
Kembangkan rangkaian anda
Jalinkan hubungan dengan pengarah, penyunting lain dan profesional industri untuk mengetahui tentang peluang pekerjaan atau latihan terkini dan membincangkan trend industri. Anda juga boleh memulakan saluran YouTube untuk mempamerkan hasil kerja anda kepada khalayak yang lebih luas!
Menghantar portfolio anda dan memohon pekerjaan bermakna anda akan berhadapan dengan banyak penolakan. Tetapi dengan alat semakan video seperti Dropbox Replay, anda boleh meminta maklum balas tepat bingkai supaya anda tahu bahagian untuk ditambah baik dan cara untuk meningkatkan kemahiran anda.
Soalan Lazim tentang cara menjadi seorang penyunting video
Apakah yang perlu saya pelajari dahulu dalam penyuntingan video?
Perkara paling penting untuk berjaya sebagai penyunting video ialah kemahiran teknikal anda—pastikan anda tahu membezakan antara potongan L dan potongan J, dan tahu cara menetapkan kelajuan video dengan sewajarnya.
Adakah anda memerlukan kelayakan untuk menjadi seorang penyunting video?
Tidak, anda tidak memerlukan kelayakan untuk mendapatkan pekerjaan menyunting video. Walau bagaimanapun, bagi sesetengah orang, mungkin bermanfaat untuk mula mengambil kursus atau ijazah sarjana muda yang berkaitan untuk belajar daripada profesional dan pakar. Kelas bimbingan ini akan membantu anda mempelajari perkara asas, memperhalusi teknik anda dan memahami konteks video hari ini yang lebih luas. Beberapa subjek berguna untuk dipertimbangkan termasuk:
- Kajian filem atau penggambaran filem
- Seni halus
- Seni pementasan
- Komunikasi
- Seni perfileman
- Reka bentuk grafik
- Penyiaran
Adakah penyunting video masih mendapat permintaan?
Penyunting video mendapat lebih permintaan berbanding dengan sebelum ini. Terdapat peluang bukan sahaja dalam industri media dan hiburan, tetapi juga dalam bidang pemasaran dan komunikasi kerana lebih banyak organisasi beralih kepada usaha mengutamakan digital yang memanfaatkan kuasa video dalam talian untuk menarik perhatian dan berinteraksi dengan pelanggan.
Mulakan kerjaya penyuntingan video anda
Dropbox memberi penyunting video yang bercita-cita semua yang diperlukan oleh mereka untuk memulakan kerjaya mereka—terus daripada akaun Dropbox anda.
Alat seperti Dropbox Replay direka bentuk untuk membantu anda mengekalkan aliran kerja kreatif anda di satu tempat. Alat ini disepadukan dengan lancar dengan alatan penyuntingan kegemaran anda seperti Adobe Premiere Pro dan After Effects dan membolehkan anda mendapat maklum balas tepat bingkai daripada rakan sekerja anda.